NABILAH

NABILAH

Wednesday, 6 July 2011

Isu Penubuhan Parlimen Mahasiswa

Parlimen Mahasiswa

pix_gal0
SELEPAS kewujudan Sudut Pidato yang menjadi medan mahasiswa institusi pengajian tinggi bersuara direalisasikan, kini wujud pula Parlimen Mahasiswa yang dilihat sebagai satu transformasi dan peningkatan kredibiliti dan kuasa suara mahasiswa.

Dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama mewujudkan parlimen berkenaan selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan, kini 19 lagi IPTA lain mula mengatur percaturan sama selepas gesaan penubuhannya ditimbulkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini.
Biarpun ia disifatkan satu perkembangan positif, namun ada yang khuatir Parlimen Mahasiswa mungkin mengalami nasib sama dengan sudut pidato yang diwujudkan di kebanyakan IPTA.
Entah di mana silapnya apabila sudut pidato dikatakan tidak berfungsi seperti diharapkan. Jika dulu banyak permintaan dan gesaan supaya sudut itu diadakan, tetapi bila sudah disediakan, tidak ramai pula yang mahu memanfaatkannya.

Persoalannya sejauh mana kesediaan mahasiswa menyahut seruan kerajaan apabila tanggungjawab sebagai wakil rakyat universiti diberikan kepada mereka turut tercetus di fikiran ramai pihak.

Menepis kebimbangan itu, rata-rata Yang Dipertua dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA yakin wujud kepentingan penubuhan Parlimen Mahasiswa, bukan saja kepada mahasiswa, malah universiti masing-masing.

Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Firwan Norliza, berkata penubuhan Parlimen Mahasiswa adalah satu agenda positif menunjukkan mahasiswa sudah diberi lesen besar mengurus perkara dan isu berkaitan mahasiswa.
Katanya, Parlimen Mahasiswa seharusnya berfungsi sebagai medan utama membawa suara mahasiswa, melatih kepimpinan, mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu mana-mana pihak.

“Namun, saya mempunyai pandangan tersendiri terhadap penubuhan Parlimen Mahasiswa ini kerana sudut teorinya, ia sangat gah tetapi sudut praktikalnya ada sesuatu yang mustahak perlu diteliti lebih mendalam.

“Antaranya persoalan Parlimen Mahasiswa masih lagi dibatasi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan mungkin bakal terikat dengan sebuah lagi akta seandainya Parlimen Mahasiswa dilaksanakan di setiap IPT,” katanya.

“Jika dilihat dari sudut takrifan parlimen itu sendiri, ia merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa menggubal undang-undang. Justeru, saya merasakan Parlimen Mahasiswa tidak perlu lagi diikat dan dibatasi oleh AUKU, yang mana jelas bercanggah dengan konsep penubuhan parlimen itu sendiri,” katanya.

Katanya, jika Parlimen Mahasiswa masih dibelenggu AUKU, ia tidak akan mampu berfungsi dengan baik apabila kebebasan mahasiswa dicantas.

Beliau tertarik dasar dan konsep digunakan United Kingdom Youth Parliament (UKYP) iaitu satu parlimen belia atau golongan muda UK yang membawa suara anak muda mereka membabitkan pendidikan, ekonomi, sosial dan politik. Mereka lantang mengeluarkan idea dan pandangan ke arah perubahan.

Katanya, UKYP bertindak sebagai platform mewakili suara anak muda di universiti yang memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa, khususnya memperjuangkan yuran pengajian dan membantah cadangan kerajaan menetapkan 50 peratus pelajar perlu menyambung pengajian di universiti.

“UKYP berjaya berfungsi membawa suara kebebasan dan hak mahasiswa atas beberapa faktor antaranya ia tidak tertakluk dan terikat mana-mana akta dalam membawa gerakan mereka. Mereka lebih berdikari dan bebas dalam membuat keputusan, berbeza Parlimen Mahasiswa sedia ada di USM masih lagi terikat dan tertakluk di bawah AUKU,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPP UTM, Muhammad Zaki Omar berkata, lontaran suara pemimpin mahasiswa dalam satu infrastruktur intelektual iaitu Parlimen Mahasiswa penting kerana setiap perbincangan dan penghujahan direkod dan didokumenkan sebagai satu khazanah yang boleh dijadikan tujukan pada masa depan.

Katanya, wujudnya Parlimen Mahasiswa secara tidak langsung menggalakkan pertukaran idea, perkongsian pendapat dan usul cadangan kalangan pemimpin mahasiswa dibahaskan dengan lebih jitu dan terperinci.

“Kewujudan Parlimen Mahasiswa bukanlah retorik bagi melengkapkan keperluan kokurikulum pemimpin mahasiswa, malah mengukuhkan lagi tanggungjawab sosial mereka.

“Elemen terpenting kewujudan Parlimen Mahasiswa adalah pengiktirafan suara mahasiswa dalam menjaga kepentingan dan kebajikan mereka termasuk hal ehwal penggubalan dasar universiti.

“Pengiktirafan ini menjadikan suara mahasiswa lebih relevan dan membolehkan pendapat mereka diterima dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu seperti masyarakat, perundangan, sosiobudaya dan ekonomi serta kematangan politik negara” katanya.

Membicarakan kelesuan sudut pidato, Timbalan Presiden MPP Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Mohd Izzuddin Mohd Rosli, berkata secara umum sudut pidato dilihat sebagai tempat bagi mahasiswa meluahkan pendapat, cadangan dan perasaan tidak puas hati mengenai apa saja isu.

MPP USM tepis pandangan negatif mahasiswa ‘lesu’

CADANGAN mewujudkan Parlimen Mahasiswa dicetus MPP USM bagi menepis pandangan dan persepsi luar yang mengatakan mahasiswa kini ‘lesu’ berikutan penilaian tidak adil dan berat sebelah terhadap mahasiswa.

Yang Dipertua, MPP USM, Ahmad Wafi Sahedan, berkata perbincangan secara serius tanpa elemen emosi berkaitan penubuhan Parlimen Mahasiswa dibuat pada Mesyuarat Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA SeMalaysia ke-5 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), akhir Disember lalu.

Beliau berkata, perbincangan itu membawa kejayaan USM sebagai IPTA pertama mewujudkan Parlimen Mahasiswa.

Secara asasnya, beliau berkata, struktur Parlimen Mahasiswa membabitkan pelbagai pihak yang mempunyai peranan atau fungsi khusus di mana YDP/Presiden MPP IPTA dilantik sebagai ahli dalam parlimen berkenaan.

Katanya, peneraju kepemimpinan mahasiswa IPTS juga terbabit sama, begitu juga ahli Majlis Siswi Nasional (MASISNA) setiap universiti selain Pengerusi Anak-anak Negeri Kebangsaan bagi mengukuhkan suara mahasiswa apabila Parlimen Mahasiswa Malaysia.

Paling penting katanya, kewujudan Parlimen Mahasiswa tidak bercanggah dengan fungsi atau peranan Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA SeMalaysia, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan MASISNA kerana setiap entiti terbabit masih relevan dengan asas dan peranan berbeza.

“Penubuhan Parlimen Mahasiswa dilihat sebagai satu transformasi untuk mengubah kerangka politik mahasiswa sekarang kepada kerangka politik yang baru.

“Kewujudan Parlimen Mahasiswa pastinya membentuk budaya baru kalangan mahasiswa iaitu perbahasan secara intelektual tanpa dipengaruhi sentimen politik dan emosi.

“Golongan mahasiswa pada hari ini perlu sedar bahawa mereka adalah golongan ketiga atau ‘third force’ dalam negara ini iaitu golongan yang neutral dan bebas untuk mengkritik mana-mana pihak tanpa dipengaruhi sesiapa,” katanya.

Beliau turut menuntut sikap keterbukaan pihak universiti dalam merealisasikan penubuhan parlimen mahasiswa. Universiti tidak perlu takut, malah perlu lebih bersama menyokong transformasi ke atas kerangka politik mahasiswa

No comments:

Post a Comment